Selamat Bertemasya Di Bulan Ramadhan
Bismillahirahmanirrahim.. Selawat dan salam kita ucapkan kepada junjungan besar nabi Muhammad s.a.w, ahli keluarga baginda, para sahabat r.a, para salafu soleh dan seluruh umat islam hingga ke akhir zaman. Alhamdulillah kita memanjatkan setinggi-tinggi kesyukuran ke hadhrat Ilahi kerana mengizinkan kita sekali lagi pada tahun ini untuk bertemu dengan tetamu yang agung bulan Ramadhan al-mubarak. Saban tahun silih berganti namun perasaan rindu dan mengharap kepada bulan ini tidak pernah pudar. Inilah dia pertemuan yang akan menyinari hati-hati sang kekasih lantaran doa yang Allah telah maqbulkan "Ya Allah, temukanlah aku dengan Ramadhan".
Muslimin dan muslimat yang dirahmati Allah swt.
Rasulullah s.a.w telah bersabda yang bermaksud: "Ramadhan telah datang kepada kamu yang merupakan bulan berkat dan Allah swt telah mewajibkan puasa dalam bulan ini. Semua pintu syurga dibuka dan semua pintu neraka ditutup serta dibelenggu syaitan. Ia mempunyai satu malam yang lebih baik dari seribu bulan dan sesiapa yang tidak bertemu dengannya ia sangat rugi" H.R Imam Ahmad dan Nasai dari Abu Hurairah r.a.
Ibn Rejab telah berkata: hadis ini pada asalnya ialah sebagai ucap tahniah kepada manusia dengan kedatangan Ramadhan. Bagaimana orang beriman tidak bergembira dengan terbukanya pintu syurga? Dan bagaimana orang berdosa tidak bergembira dengan tertutupnya pintu neraka? Bagaimapula orang berakal tidak bergembira kerana terbelenggunya syaitan?
Beginilah cara Rasulullah s.a.w menyampaikan berita gembira kepada sahabatnya. Sesungguhnya ia adalah kekasih yang ditunggu-tunggu dan Rasulullah s.a.w telah menyambut kedatangannya dengan sabdanya yang bermaksud: "Telah datang kepada kamu Ramadhan yang menjadi penghulu segala bulan. Selamat datang diucapkan"
Hasan Al-Basri dalam memberikan maksud sepotong hadis tentang berlumba-lumba dengan melakukan kebaikan di bulan Ramadhan telah berkata: "Sesungguhnya Allah swt telah menjadikan Ramadhan medan untuk makhluknya berlumba melakukan kebajikan untuk mendapat keredhaanNya. Sebahagian mereka mendahului maka mereka berjaya dan sebahagian mereka terkebelakang dan mereka kerugian. Suatu perkara yang menghairankan kerana masih ada lagi sesiapa yang tertawa dan lalai pada hari orang membuat kebajikan akan mendapat kejayaan dan kerugian bagi mereka yang tidak membuat kebajikan"
Ketika Allah swt menyebut bulan Ramadhan dalam Al-Quran, ia turut menyatakan yang maksudnya: "Bulan Ramadhan yang diturunkannya Al-Quran sebagai petunjuk bagi manusia" -- Al Baqarah: 185. Dalam ayat lain Allah swt menjelaskan bahawa Al-Quran diturunkan pada satu malam berkat: "Sesungguhnya Kami telah menurunkannya pada malam yang berkat" Al-Dukhan: 3 dan Allah swt menentukan malam yang berkat itu ialah Lailatul Qadar: "Sesungguhnya Kami menurunkannya pada malam al-qadr" Al-Qadr :1
Al Bukhari meriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a katanya Rasulullah s.a.w telah bersabda yang bermaksud: "Sesiapa yang mendirikan malam al qadr dengan penuh rasa keimanan dan mengharap keampunan, maka diampunkan dosanya yang terdahulu"
Begitulah Allah swt telah menghadiahkan kepada manusia di bulan Ramadhan ini Al-Quran, Lailatul Qadr dan Puasa. Maka marilah kita bersama-sama bertemasya dibulan yang mulia ini bersama-sama sang kekasih yang dirindui. Bila hati telah terubat kegembiraan dengan pertemuan, lidah mengungkapkan kata-kata cinta dengan zikir dan Al-Quran. Dan Allah menjadi saksi akan setiap amalan, bisikan dan pengharapan seorang hambaNya.
Akhirnya, saya mewakili seluruh jawatankuasa Ikatan Muslimin Malasia cawangan Hulu Langat mengucapakn Selamat Menyambut Ramadhan Al-Mubarak kepada seluruh muslimin dan muslimat sekelian. Mudah-mudahan kedatangan Ramadhan kali ini menjadikan kita umat yang lebih baik, lebih beriman dan bertaqwa agar menjadi bekalan untuk kita terus berjuang mendaulatkan syariat Islam di tanahair yang tercinta ini.
Wassalamualaikum wrt. wbt.
MELAYU SEPAKAT ISLAM BERDAULAT
Mohd Noor Azib Asmangi
Yang Di-Pertua
ISMA Hulu Langat
faisal tak layak lagi.. jadi cameraman je dulu.. (^_^)
lasiaf87 6 months ago
template je.. huhu.
lasiaf87 6 months ago