KUALA LUMPUR, 31 Mac -- Beberapa pemegang jawatan tinggi Umno kini disiasat ekoran aduan berlaku amalan politik wang dua tiga hari menjelang perhimpunan agung parti itu minggu lepas, kata Anggota Lembaga Disiplin Umno Tan Sri Megat Najmuddin Megat Khas.
"Saya tak ariflah kes-kes yang mana disiasat sekarang tapi saya dengar memang ada kes yang sedang disiasat.
"Sampai hari ini boleh tahan jugalah (bilangannya). Berkaitan dengan jawatan tinggi pun ada banyak," katanya kepada pemberita selepas membentangkan kertas kerja pada Sidang Kemuncak Anti Rasuah "Tiada Tolak Ansur Bagi Rasuah" anjuran Institut Strategi dan Kepimpinan Asia (ASLI) dan Transparency International Malaysia di sini, Selasa.
Beliau ditanya sama ada masih terdapat laporan politik wang yang disiasat oleh lembaga itu walaupun setelah perhimpunan agung Umno itu berakhir Sabtu lepas.
"Memang dalam perhimpunan agung, itulah masanya pun berkempen cara politik wang," kata Megat Najmuddin sambil menjelaskan beliau bagaimanapun tidak terbabit secara langsung dalam siasatan berkenaan kerana sebagai anggota lembaga mereka tidak boleh menjadi penyiasat, pendakwa dan juri sekaligus.
Ditanya sama ada kes berkenaan membabitkan juga Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin, beliau berkata sekiranya terdapat bukti sesiapapun akan dikenakan tindakan.
"Sesiapapun kita akan dakwa kalau ada bukti sahih yang teguh, tapi kalau bukti tak kuat, susah. Baik laporkan di Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia atau Lembaga Disiplin," katanya.
Link to this comment:
All Comments (0)