April 10, 2010. Stadium Nasional, Bukit Jalil.
Negeri Sembilan menjulang Piala FA edisi ke-21 setelah menewaskan Kedah 5-4 melalui sepakan penalti selepas terikat 1-1 setelah tamat masa tambahan di depan kira-kira 70,000 penonton yang majoritinya penyokong Hijau Kuning.
Kedah terlebih dahulu membuka jaringan pada minit ke-27 melalui penyerang berbisa mereka Baddrol Bakhtiar. Stadium Nasional gegak gempita dengan penyokong Hijau Kuning yang menjadi saksi penyerang bawah 23 tahun kebangsaan itu mempamerkan kepintarannya menjaringkan gol. Mendapat umpanan tepat Syafiq Jamal, pemain muda yang pernah berguru di Chelsea itu dengan tenang melambungkan bola yang memukau dan mudah melepasi penjaga gol lawan, Sani Anuar Kamsani.
Namun, giliran penyokong Hoben Jang Hoben bertempik 'Gol' pula tiba minit ke-39 setelah penyerang muda Negeri Sembilan, Shaffik Rahman menyumbat jaringan penyamaan.
Berakhir 90 minit masa permainan, kedudukan masih terikat 1-1 memaksa perlawanan dilanjutkan masa tambahan 30 minit namun masih gagal mencari sebarang gol, memaksa penentuan menerusi sepakan penalti.
Tuah nyata milik Negeri Sembilan apabila berjaya memenangi sepakan penalti dengan keputusan 5-4 setelah penjaga golnya menyelamatkan sepakan Mohd Fazliata, Mohd Helmi dan Mohd Sabre Mat Abu. Kedah satu ketika berpeluang untuk menamatkannya lebih awal akibat lawan tersasar sebanyak dua kali menerusi Zaquan Adha Radzak dan Asyraf Al Japri. Turut menyudahkan sepakan bagi Negeri Sembilan ialah Norizam Salaman, Aidil Zafuan Radzak, S. Kunanlan, Shukor Adan dan Rezal Zambery Yahya sementara Kedah menerusi Shahrulnizam Mustapa, Baddrol Bakhtiar, Azmi Muslim dan M. Aminnuddin.
Kekecewaan Kedah sedikit terubat apabila pemainnya, Baddrol Bakhtiar dipilih sebagai pemain terbaik perlawanan akhir manakala Helmi dipilih sebagai penjaga gol terbaik.
Berangkat menyaksikan perlawanan adalah Tengku Bendahara Kedah, Datuk Seri Tengku Anuar Sultan Badlisyah, Menteri Belia dan Sukan Datuk Ahmad Shabery Cheek, Menteri Besar Kedah Datuk Seri Azizan Abdul Razak dan Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Mohamad Hasan
congrats 2 n9 for wins the fa cup this season.. yeah!!! hobin jang hobin!!!
malikundang87 1 year ago