Akhirnya selepas lima tahun pemergian J.S. Kevin dan selepas sepuluh tahun XPDC asal mula berpecah mereka mulai rujuk kembali. Ketika masih hayatnya, Allahyarham seolah-olah dapat merasai satu hari nanti anak didiknya akan bergabung kembali, kerana itulah beliau telah meninggalkan harta pusakanya yang tidak ternilai buat XPDC. Walaupun beliau telah mencipta beberapa buah lagu yang kini telah dirakamkan oleh artis lain tetapi beliau telah mencipta beberapa buah lagu khusus untuk dimuatkan dalam album terbaru XPDC jika mereka bergabung kembali.
Untuk album terbaru ini XPDC ROCK UNION dua buah lagu dan lirik ciptaan Allahyarham akan dimuatkan iaitu lagu ..Curahan Rasa' dan ..Menentang Arus'. Bagi Izo, Zuar,Amy atau Mael sendiri walaupun suatu masa dahulu mereka pernah berkrisis, walaupun kini mereka bernaung dalam syarikat rakaman yang berbeza namun semuanya tidak pernah menghalang mereka untuk muncul dalam album bersama ini. Bagi mereka hasrat bersatu kembali telah lama diusahakan tetapi oleh kerana mereka bernaung dengan syarikat rakaman yang berlainan, ianya agak merumitkan. Izo, Zuar dan Amy terikat dengan syarikat rakaman Life Records. Manakala Mael masih lagi mempunyai kontrak bersama EMI Malaysia. Mereka telah merujuk kepada dua syarikat rakaman ini dan atas kerjasama kedua-duanya akhirnya penyatuan semula ini berjaya. Itulah antara keunikkan kumpulan rock era 90'an XPDC yang tetap utuh sehingga kini.
Gabungan semula anggota lama XPDC ini juga dilihat sebagai memenuhi impian peminat setia mereka sendiri yang sering mengharapkan kemunculan kembali mereka dalam sebuah album terbaru. Walaupun gabungan XPDC ini sebenarnya telah berlaku sejak tahun lepas lagi melalui kemunculan mereka ditapak-tapak pertunjukkan pentas tetapi tidak ramai yang mengetahuinya. Sehinggalah mereka buat julung kalinya muncul bersama untuk program TV untuk siaran pada hari raya yang lalu. Kemunculan mereka untuk programme Rock Kapak Raya di Channel 9 itu memberi impak yang besar kepada peminat mereka sendiri yang sesungguhnya telah lama mengimpikan gabungan semula ini.